Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan
DENGKIL: Penat meminta-minta! Itu yang dihadapi 24 keluarga di Taman Jenderam Aman, Dengkil, Selangor. Masalah banjir kilat dan mendapan tanah yang mereka hadapi hampir lebih tiga tahun masih tiada kesudahan.
Sekali pandang kawasan di sana, memang cantik dan indah. Namun, perumahan yang baharu dibina kira-kira dua tahun lalu, mempunyai 1,001 cerita sengsara yang dihadapi penduduk di sana.
Sejak menetap di kawasan terbabit pada tahun 2019, pelbagai isu terus menjadi igauan buat penduduk.
Jika dilihat dari luar rumah, dapat dilihat kawasannya sudah mulai senget. Dan jika dilihat dari dalam kawasan rumah pula, dapat dilihat sudah mula ada lubang-lubang yang terhasil di bahagian bawah rumah akibat daripada mendapan tanah.
Bagi Muhd Zaki Omar, mendapan tanah yang berlaku turut memberi kesan kepada sistem perpaipan rumahnya, sehinggakan jumlah bil air yang perlu dibayarnya mencecah ribuan ringgit.
‘Di bawah rumah ini ada sistem perpaipan, jadi bila berlaku mendapan tanah, sistem itu pastinya akan terkesan. Paip akan patah dan sebagainya. Macam rumah saya, dari bulan Ogos sehingga Disember, bila air saya mencecah sehingga RM3500.’
‘Kalau dulu, bil air dalam RM40 ke RM50 sahaja, tetapi sekarang sampai ribuan ringgit. Bayangkan sendiri kos kerugian yang saya tanggung.’
‘Saya dah buat laporan, tapi pemaju tak mahu ambil tindakan.’
Bukan itu sahaja katanya, sistem perpaipan baru yang dibuat oleh pihak pemaju tidak begitu praktikal sehingga mencacatkan pandangan.
Selain itu, rumah miliknya turut mengalami keretakan di dinding dan juga lantai.
Malah, lubang yang terhasil juga menjadi ‘tempat persinggahan’ haiwan berbisa seperti ular tedung dan sawa
Isu mereka tidak terhenti di situ. Menurut penduduk, banjir kilat pasti akan berlaku setiap kali hujan. Dakwa mereka, ini kerana sistem perparitan yang sedia ada tidak begitu praktikal, sehinggakan air hujan yang turun dari bukit tidak masuk terus ke dalam parit berhampiran.
‘Setiap kali hari hujan, air akan turun dari bukit. Jadi, di sini ada dua bukit. Bukit yang ada pembinaan dan bukit yang ada di depan kawasan ini.’
‘Air hujan itu dia tidak melalui longkang yang betul, dia terus meluru masuk ke taman ini dan akan terperangkap dekat sini, jadi apabila terperangkap dia akan menghasilkan banjir yang dalam, lebih-lebih lagi sebab di sini ada dinding, sekaligus dia akan memerangkap air tersebut.’ kata Anas Othman.
‘Bila bertakung pula, air memang tinggi. Kalau ada kereta yang parking dekat luar, memang akan tenggelam.’
Bukan setakat itu sahaja, kawasan substation milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sudah mulai retak dan ditenggelami air.
Penduduk bimbang, ia mampu mendatangkan risiko renjatan elektrik kepada mereka, selain boleh mendatangkan kematian.
‘Pihak TNB ada beritahu yang kalau air mula naik sahaja, terus hubungi mereka supaya mereka boleh tutup, tapi kalau fikir logik, memang tak sempat nak call mereka’ kata Anas.
Isu tersebut kami panjangkan kepada ahli majlis Zon Jenderam, Muhammad Fahim Mohd Fauzi.
Katanya, pihaknya memang telah membuat satu perancangan untuk membesarkan longkang untuk membantu menyalurkan air ke tempat yang sepatutnya.
‘Ada tiga pihak yang terlibat dalam isu ini. Mereka termasuklah pejabat tanah, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kami (Majlis Perbandaran Sepang).’
‘Setakat ini, semua pihak telah pun maklum dengan isu dan masalah yang berlaku di taman ini, yang mana pihak JKR pun telah datang dan membuat lawatan. Cumanya sekarang, kita masih tunggu pihak pejabat tanah untuk datang melawat dan membantu dari segi bidang kuasa yang ada pada mereka.’
Bagi, Anuar Sani Abdul Rahman yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Jenderam Aman pula, harapan beliau segala isu dapat diselesaikan segera sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.
‘Kita minta, sebelum terjadinya sesuatu yang tak diingini, masalah ini dapat diselesaikan oleh pihak berwajib.’
‘Kami dah buat bermacam-macam cara, kami sudah buat ujian pada tanah dan semua hasil ujian itu kami dah lampirkan sekali dengan laporan kami kepada pihak berwajib. Tapi hingga ke hari ini, masih tiada apa-apa tindakan. Bukan setakat tindakan, reply pun tiada!’
Dalam pada itu, ahli parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu sudah pun turun meninjau kawasan yang terkesan akibat banjir kilat dan mendapan tanah di Taman Jenderam Aman.
Menurut penduduk yang dihubungi Buletin TV9, mereka memberitahu yang ahli parlimen dan pegawai khasnya, V Chandaran Balakrishnan itu telah berunding dengan pemaju tanah di sebelah taman tersebut untuk memperbaiki semula saliran dan jalan-jalan yang berlubang di kawasan terbabit.
‘Perkara pertama yang dia buat ialah berunding dengan pemaju yang berada di sebelah taman kami ini. Oleh sebab lori milik mereka lalu lalang dan merosakkan jalan, pihak YB minta mereka membetulkan semula jalan yang berlubang selain saliran air yang terjejas, dan syukur mereka bersetuju untuk buat’
‘Tetapi bagi kami, ini cuma langkah sementara, sebab penyelesaian sebenar adalah dari pihak JKR. Yang itu Encik Chandran akan follow-up dengan mereka untuk membina calvet yang lebih besar.’
Namun, bagi masalah mendapan tanah tersebut, kata penduduk, ia masih dalam proses perbincangan.
‘Pihak YB telah pun dah panggil pihak pemaju dan MPS untuk datang ke sini, Mereka pun dah buat tinjauan, dan telah mengarahkan pemaju untuk buat kajian tanah semula di kawasan ini, selain baiki semula fasiliti yang rosak akibat mendapan dan juga banjir.’
Tambah mereka, kawasan tersebut masih di bawah pemaju, dan pihak MPS hanya akan mengambil alih selepas kesemua masalah itu selesai.
‘Kami juga dimaklumkan, pemaju masih belum menyerahkan kepada MPS, dan MPS pun kata mereka tak mahu ambil alih taman ini selagi mana masalah ini tidak diselesaikan pemaju.’
Kata mereka lagi, masalah tersebut akan diselesaikan satu persatu kerana ia merupakan masalah yang berangkai dan pelbagai.