BAGAN DATUK: Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menafikan dakwaan berlakunya rekahan pada Jambatan Bagan Datuk-Sejagop yang baru dibuka kepada umum 31 Mei lalu.
Menurut sumber Jabatan Kerja Raya (JKR), rekahan yang didakwa itu adalah bukaan bagi membolehkan konkrit di struktur jambatan tersebut mengembang dan menguncup dan tidak seperti mana yang didakwa menerusi video yang tular di media sosial, malam tadi.
Katanya, apa yang ditunjukkan menerusi rakaman video itu bukanlah rekahan kerana sifatnya tidak selari dengan ciri-ciri rekah.”Ada getah yang belum siap dipasang di kawasan bukaan berkenaan.
Jambatan Bagan Datuk-Sejagop sudah dibina berpandukan piawaian ISO, maka tidak mungkin perkara berkaitan keselamatan diambil ringan” katanya.
Menerusi rakaman video itu, rekahan di struktur jambatan berkenaan menyebabkan Sungai Perak yang berada di bawahnya dapat dilihat oleh mereka.
1 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan laluan baharu bas henti-henti MARA Liner Sdn Bhd yang menghubungkan ML89 Bagan Datuk ke Teluk Intan dan laluan ML90 Bagan Datuk ke Kampung Gajah dengan melalui jambatan baharu itu.
Jambatan yang menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan Perak Tengah itu menjadi tumpuan pengguna memandangkan ia dapat memendekkan jarang perjalanan yang sebelum ini 50 kilometer (km) kepada 1.5 km sahaja.