KLUANG: Wanita yang dilaporkan hilang bersama anak lelaki dan dua cucunya selepas bercuti di Pulau Perhentian, memaklumkan mereka terputus hubungan dengan ahli keluarga ekoran telefon bimbit rosak.
Suraidah Abdul Ghani, 52, ketika ditemui memaklumkan mereka sebenarnya tidak hilang.
Sebaliknya hanya terputus hubungan selepas telefon bimbit rosak ketika melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Perhentian, 30 September lalu.
Beliau mengakui hanya menyedari kehilangan mereka tular di media sosial selepas selamat tiba di Kluang, petang tadi.
Suraidah bersama anak lelakinya, Muhammad Aiman Rafee, 21 tahun dan dua orang cucunya, Sasa Alesha, 7 tahun serta Ahmad Dhani 4 tahun selamat pulang ke rumah kediaman mereka di Taman Sri Lambak, Kluang jam 2 petang tadi.
Katanya, perancangan untuk bercuti ke Pulau Perhentian diteruskan meskipun terputus hubungan dengan ahli keluarga.
Begitupun katanya, anaknya berusaha menghubungi ahli keluarga, namun gagal.
“Saya memang dah rancang sampai 3 Oktober perjalanan dengan anak dan cucu semua. Kita cuba juga dalam 30 haribulan malam, anak cuba call kakak, dia pakai iPad, gunakan Wi-Fi hotel, malangnya tak ada jawapan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan seluruh rakyat yang mengambil berat kepada saya dan ahli keluarga, saya memohon maaf atas masalah yang timbul” katanya.