Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Kurang tiga peratus anggota dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri dalam kalangan bukan bumiputera.
Bagaimanapun Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Rakyat menegaskan ATM tidak pernah menetapkan kuota pengambilan mengikut kaum.
Katanya penyertaan yang kurang daripada bukan bumiputera disebabkan mereka tidak berminat atas beberapa faktor.
“Kerja askar ini terutama Lain-Lain Pangkat (LLP) bertugas 24 jam, bukan kerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang atau 9 pagi hingga 5 petang.
“Kadang-kala buat operasi duduk dalam hutan. Tiga bulan meninggalkan keluarga. Gaji tak seberapa sangat. Gaji Lain-Lain pangkat ini permulaannya RM2,498 termasuk elaun.
“Bagi bukan bumiputera ini kurang menarik. Kita tidak ada kuota.
Memang kita minta ramai (bukan bumiputera) masuk tentera masalahnya ramai yang tak minat,” katanya.
Mohamad menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang bertanya usaha yang diambil Kementerian Pertahanan menarik bukan Melayu untuk menyertai ATM.