SHAH ALAM: “Ular sawa itu bukan ular gergasi atau anaconda sebaliknya ular sawa batik biasa saja. Berita yang disebarkan menakutkan orang ramai sedangkan ia tidak seperti ditularkan,” kata penduduk sekitar kawasan Elmina, di sini.
Individu yang enggan dikenali itu memberi reaksi berhubung penularan video yang memaparkan seekor ular sawa bersaiz gergasi didakwa ditemui sekitar kawasan berkenaan.
Berdasarkan video yang ditularkan, rakaman itu memaparkan reptilia berkenaan sedang menjalar di satu kawasan berbukit ketika ia dirakam penduduk setempat.
Menurutnya, video berkenaan menimbulkan ketakutan kepada penduduk setempat, malah dia juga sempat percaya kehadiran ular gergasi itu, namun mengakui menyedari ia hanya nampak besar kerana ia diambil secara ‘zoom.’
“Saya difahamkan ada kakitangan pergi ke kawasan itu dan menjumpai ular berkenaan, namun ia tidaklah sebesar seperti didakwa dan dipercayai ular itu sudah ditangkap.
“Video berkenaan menyebabkan ramai yang bimbang dan sepatutnya perlu terus panggil pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, berdasarkan kualiti video berkenaan yang kurang baik dia percaya ia dirakam dari jauh dan sebab itu ular berkenaan dilihat bersaiz besar.
Semalam, media melaporkan penemuan ular berkenaan dan hantaran video itu dikongsikan pemilik akaun Twitter, kelmarin.
Dalam ciapannya, dia berkata, “Ular sawa/anaconda jumpa dekat area Elmina. Recorded by one of the residents (Dirakam oleh salah seorang penduduk) dan posted (dikongsikan) dalam group community Denai Alam.
Bagaimanapun, seorang pengguna Facebook tampil mendedahkan saiz ular berkenaan tidak seperti yang ditularkan dan ia hanya bersaiz ular sawa yang biasa ditemui di negara ini.
Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan penemuan ular berkenaan.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan membabitkan keselamatan kepada talian 999 supaya tindakan dapat diambil.