Oleh: Safwan Sawi
LABUAN: Seorang kanak-kanak tempatan berusia 12 tahun maut selepas terjatuh di pangsapuri Ganggarak Permai awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Ahmad Jawilla berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai mayat kanak-kanak perempuan di tingkat 1 bangunan terbabit sekitar 5.28 pagi.
Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak yang tinggal di tingkat 10 itu maut setelah terjatuh dari bahagian tepi bangunan berpagar berdekatan lif pangsapuri.
Pihak polis juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Superintenden Ahmad meminta orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil memberi maklumat dimana-mana balai polis berdekatan atau berhubung di talian IPD 087-412 222.