TUARAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditemui lemas ketika mandi bersama keluarga di sungai Kampung Serusop di sini.
Mangsa dilaporkan hilang semalam.
Mayat Syaza Wardiah Muesa, 12, ditemui pada jam 11.47 pagi tadi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata operasi SAR hari kedua yang dimulakan jam 6.23 pagi tadi dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat menemui kedudukan mangsa.
“Mayat mangsa ditemui di dasar sungai dengan kedalaman air kira-kira empat meter berhampiran lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dihubungi.