Tumpuan :
Nasional

Budak perempuan 9 tahun parah, motosikal langgar lubang 

Lubang dipercayai saluran kabel bawah tanah yang dibiarkan tidak tertutup menyebabkan kanak-kanak parah selepas motosikal dinaiki bersama bapa terlanggar lubang berkenaan. – FOTO: NSTP/ Ihsan Pembaca

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan parah selepas motosikal yang dinaiki bersama bapanya terlanggar lubang saluran kabel bawah tanah yang dibiarkan tidak bertutup dekat Jalan Persiaran Rimbun Indah, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama bapanya dalam perjalanan menghantarnya ke sekolah dan keadaan masih gelap menyebabkan penunggang motosikal tidak nampak lubang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, lubang yang sebelum ini tertutup rapi itu turut menyebabkan tiga lagi kereta mengalami kerosakan akibat terjatuh ke dalamnya.

“Berlaku kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan iaitu tiga kereta dan sebuah motosikal di Jalan Persiaran Rimbun Indah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang lelaki berumur 44 tahun bersama anaknya pelajar sekolah berumur sembilan tahun sedang bergerak dari arah Persiaran Rimbun Indah ke arah Seremban.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal yang sedang bergerak di lorong kiri secara tiba-tiba terlanggar lubang yang berada di hadapan laluannya,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, akibat daripada perlanggaran itu, pembonceng dan penunggang motosikal tercampak jatuh di atas jalan raya.

“Ketiga-tiga pemandu kereta dari arah yang sama turut melanggar lubang itu namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

Tambah beliau, mangsa pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah pada kepala dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan manakala bapanya mengalami luka pada tangan.

Justeru beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Sankar di talian 014-6000353 atau boleh terus ke mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Rule 10LN166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini