Tumpuan :
Nasional

Budak perempuan 6 tahun maut tersepit besi pelipat meja

Pihak polis melakukan pemeriksaan di lokasi budak perempuan berusia enam tahun maut dipercayai akibat tersepit di celah besi meja lipat dalam kejadian di Taman Seri Putera, Nibong Tebal. -FOTO: NSTP

NIBONG TEBAL: Seorang budak perempuan maut akibat tersepit di celah besi meja lipat dalam kejadian di rumah keluarganya dekat Taman Seri Putera di sini, petang semalam.

Insiden berlaku kira-kira jam 4.15 petang itu berlaku ketika mangsa berusia enam tahun, sedang bermain sendirian di belakang rumah yang disewa ibunya.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu bersama kakak dan abang mangsa berusia sembilan tahun serta sepuluh tahun berada di dalam rumah.

Bagaimanapun, mereka hanya menyedari insiden terbabit selepas tidak mendengar sebarang bunyi sebelum keluar untuk memeriksa dan menemui mangsa tidak sedarkan diri.

Mereka kemudian mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital, namun kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak.

Pihak hospital telah menghubungi polis untuk memaklumkan berhubung kematian mangsa dan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini