KOTA BELUD: Kanak-kanak perempuan 11 tahun yang melarikan diri ke dalam hutan di Kampung Dudar di sini, semalam, kerana berselisih faham dengan keluarganya, ditemui selamat.
Artikel berkaitan : Akibat selisih faham, budak perempuan lari masuk hutan
Aliesah Aslan, ditemui penduduk kampung, sejauh 400 meter dari rumahnya tanpa sebarang kecederaan, kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian, pada jam 7.54 pagi semalam.
Katanya, 13 anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) bergegas ke lokasi dengan satu kenderaan utiliti pacuan empat roda dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Selepas memastikan tiada kecederaan serius, mangsa seterusnya diserahkan kepada ahli keluarga.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditamatkan 10.30 malam,” katanya dihubungi, hari ini.
Terdahulu, berlaku perselisihan faham antara kanak-kanak itu dengan ahli keluarganya pada Ahad lalu.
Akibatnya, kanak-kanak itu merajuk dan keluar dari rumah tetapi pulang jam 3.30 pagi semalam, sebelum melarikan diri semula ke hutan sebaik mendapati terdapat ahli keluarga lain di rumahnya.
Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.