GEORGE TOWN: Kanak-kanak berusia 12 tahun, Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, yang melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik di bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB), Khamis lalu sedang menjalani pembedahan menampal kulit.
Ibunya, Suhana Samsudin, 37, memberitahu pembedahan ke atas Mohd Dawisy Zarif berlangsung sejak jam 12 tengah hari tadi di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Pada masa ini, anak saya masih dalam bilik pembedahan, dan tidak pasti berapa lama (tempoh).
“Pembedahan berkenaan bagi menampal kulit namun saya tidak difahamkan dengan lanjut oleh doktor.
“Saya masih menunggu sehingga pembedahan selesai dan hanya berdoa supaya semuanya selamat kerana rindu serta sudah tidak sabar mahu peluk erat Mohd Dawisy Zarif,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 4.30 petang Khamis lalu, mangsa dikatakan memasuki bilik jana kuasa elektrik TNB di Jalan Kampung Bukit dekat Taman Sri Bayu, bagi mengambil bola miliknya yang terjatuh dalam premis berkenaan.
Mangsa yang terkena renjatan elektrik dikejar ke HPP dan kemudian ditidurkan sepanjang rawatan sejak hari kejadian selepas mengalami 50 peratus melecur serta menggunakan alat bantuan pernafasan.
Suhana berkata, sejak kejadian itu, fikirannya sangat runsing serta beremosi terutama ketika ditanya mengenai anaknya.
Malah, katanya abang kembar Mohd Dawisy Zarif juga lebih suka berdiam diri selain mengadu teringat kepada adiknya.
“Fikiran saya memang agak terganggu dan saya harap semua dapat memahaminya.
“Sebagai seorang ibu, memang ‘hancur hati’ saya bagi menghadapi semua ini, jadi diharap semua pihak dapat beri kami ruang untuk menempuh detik sukar.
“Saya tidak mahu apa-apa dan belum pertimbang sebarang tindakan, cuma mahu Mohd Dawisy Zarif pulih dan sihat dahulu,” katanya.
Suhana turut berharap orang ramai berhenti menularkan video kejadian kerana ia amat mengganggu emosi keluarga.
“Bayangkan jika video rakaman anak anda menggelupur kesakitan ditularkan dan percayalah, bagi saya ia amat ‘menyakitkan’ sehingga kerap bermimpi kejadian itu,” luahnya.