comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Budak lelaki melecur terkena renjatan elektrik ditidurkan untuk rawatan

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang melecur hampir seluruh badannya akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Bayan Lepas di sini, semalam, kini berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Bapanya, Mohd Khairi Abdul Ghani, 38, berkata, Mohd Dawisy Zarif mengalami lecur sehingga 50 peratus pada badannya dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Mohd Dawisy Zarif ditidurkan sejak dimasukkan ke hospital semalam dan doktor mengesahkan dia mengalami kira-kira 50 peratus terbakar (melecur) di bahagian hadapan (badan).

“Pada masa ini, Mohd Dawisy Zarif masih kritikal serta menggunakan alat bantuan pernafasan dan doktor tidak pasti tempoh dia ditidurkan, bergantung kepada tindak balas (ketika dirawat),” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP, di sini, hari ini.

Semalam kanak-kanak itu dilaporkan melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu, di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan memasuki fasiliti milik TNB itu bagi mengambil bola miliknya dari dalam premis berkenaan.

Sementara itu, ibu mangsa, Suhana Samsudin, 37, berkata ketika kejadian, dia berada di tempat kerja tidak jauh daripada rumahnya manakala suaminya yang juga penjawat awam sedang bertugas di Lumut, Perak.

Katanya, ketiga-tiga anaknya termasuk kembar kepada Mohd Dawisy Zarif sudah biasa ditinggalkan di rumah ketika dia keluar bekerja dan mereka akan bermain bola bersama rakan di perumahan itu pada waktu petang.

“Semalam, kembar kepada Mohd Dawisy Zarif tidak bermain bersama kerana tidur dan saya hanya mengetahui kejadian menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp kira-kira jam 5 petang sebelum dihubungi kenalan.

“Sebaik tiba, saya lihat dia dibawa keluar dari bilik jana kuasa itu oleh jiran dan Mohd Dawisy Zarif masih boleh berjalan serta berlari sambil memanggil ‘mama’ sambil mengadu kepanasan.

”Kemudian kami bawa ke dalam surau berhampiran dan diberi rawatan awal oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya ketika ditemui.

Suhana berkata sehingga kini masih terngiang-ngiang suara anak bongsunya yang merintih kesakitan.

“Mama, adik sakit. Tolong adik, adik (berasa) panas,” itu saja yang diulang sedangkan anak saya itu ceria serta aktif bersukan.

“Sehingga kini dia belum sedar dan sebagai ibu, sudah tentu saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku dan mahu dia kembali pulih dengan segera,” katanya lagi.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu turut menerima kunjungan prihatin daripada wakil TNB Pulau Pinang bagi melawat dan mengetahui perkembangan mangsa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini