JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui maut selepas dilaporkan terjatuh ke dalam parit di Flat Desa Mutiara di sini, petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikatakan jatuh ke dalam parit ketika memancing di lokasi kejadian.
“Terdahulu, mangsa pergi memancing bersama abangnya serta tiga lagi rakan.
“Mangsa dipercayai tergelincir ketika cuba menarik mata pancing yang tersangkut di dasar parit,” katanya.
Raub berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian ditemui kira-kira jam 3.40 petang di dasar parit pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi dia terjatuh.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Rashid Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung mangsa lemas pada jam 3.30 petang.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota diarahkan ke lokasi kejadian dan setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) didapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terjatuh di dalam parit ketika memancing.
“Mangsa ditemui dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.