PETALING JAYA-Kanak-kanak lelaki warga Bangladesh yang ditemui dalam sebuah kontena yang dibawa sebuah kapal dari negara berkenaan, masih dirawat di hospital.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud memaklumkan kepada Buletin TV3 bahawa kanak-kanak itu akan dihantar pulang ke negara asalnya Sabtu ini.
Tambah beliau, berdasarkan proses semakan dan dokumentasi, kanak-kanak berusia 16 tahun itu ditemui Selasa lalu di dalam kontena yang dibawa kapal MV Integra yang berlepas dari Pelabuhan Chittagong, Bangladesh.
Kanak-kanak itu katanya terperangkap selama 5 hari dalam kontena sebelum ditemui dalam keadaan lemah.
Dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang atas faktor kemanusiaan.
Datuk Seri Khairul Dzaimee juga memaklumkan kanak-kanak itu akan dibawa semula ke Chittagong oleh kapal sama pada Sabtu ini.
Buletin Utama sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak warga Bangladesh ditemui dalam sebuah kontena yang dibawa sebuah kapal dari pelabuhan di Bangladesh.
Sebaik tiba di Pelabuhan Klang, salah seorang kakitangan terdengar ketukan dari salah sebuah kontena.
Pemeriksaan kemudian menemui seorang kanak-kanak dalam keadaan lemah akibat terperangkap tanpa sebarang makanan dan minuman selain keadaan panas di dalam kontena.