Tumpuan :
Kemalangan

Budak cedera di kepala, tersepit pintu lif selama 20 minit

Anggota bomba mendukung kanak-kanak lelaki yang diselamatkan selepas tersepit pada pintu lif. – FOTO: Ihsan Bomba

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki cedera di kepala akibat terjatuh dan tersepit dalam lif yang tersangkut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Seksyen 26, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, sebaik menerima panggilan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba jam 7.30 malam.

“Siasatan mendapati, kejadian membabitkan lif yang dinaiki lima mangsa ketika turun dari tingkat enam, bagaimanapun tersangkut di tingkat empat.

“Dalam keadaan lif yang tersangkut itu, seorang daripada lelaki dewasa sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun setengah bersandar pada pintu lif, sebelum secara tiba-tiba pintu itu terbuka.

“Kanak-kanak itu terjatuh dan kepalanya tersepit di lubang antara pintu lif dengan dinding bangunan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Morni berkata, mangsa dalam keadaan sedar dipercayai tersepit selama tempoh 20 minit sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

“Dengan menggunakan peralatan khas, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang cedera di bahagian kepala dalam tempoh lima minit.

“Mangsa diberi rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital KPJ Shah Alam menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

“Empat mangsa lain, termasuk bapa mangsa dan tiga wanita dewasa yang turut berada di dalam lif itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba,” katanya.

Loading...
Terkini