Tumpuan :
Nasional

Budak autisme hilang, pakaian dan kasut ditemui tepi longkang

Anggota bomba dan polis memfokus pencarian kanak-kanak autisme di kawasan longkang di Taman Tunku Tabor, Alor Setar. Foto Ihsan JBPM.

ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun dilapor hilang berhampiran kawasan kediamannya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa, di sini hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak itu sedang dilakukan polis dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.30 malam dan sepasukan 11 anggota dan jentera ke lokasi.

“Berdasarkan maklumat ibu mangsa, pakaian serta kasut kanak-kanak itu ditemui di tepi longkang, kira-kira 200 meter dari rumahnya.

“SAR dilakukan sekitar kawasan berkenaan dan maklumat lanjut akan dimaklum dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memberitahu longkang berkenaan besar dan berkedalaman antara satu hingga 1.5 meter serta salirannya bersambung hingga Sungai Kedah di belakang muzium negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini