BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika ditemui dalam kawasan paya berhampiran sebuah kondominium di Jalan Baru, di sini, lewat petang tadi.
Terdahulu, mangsa yang juga etnik Rohingya berusia lapan tahun dipercayai pergi ke situ untuk bermain sebelum ditemui lemas dan diselamatkan orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7 malam bagi operasi menyelamat mangsa.
Katanya, mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Orang awam turut membawa mangsa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dalam usaha menyelamatkannya.
“Namun, kita mendapat panggilan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, anggota bomba turut membuat pemantauan di kawasan paya terbabit dan keadaan terkawal.
Operasi ditamatkan pada jam 7.25 malam.