SEMPORNA: Akibat tindakan ‘gatal tangan’, seorang kanak-kanak 12 tahun yang meletakkan objek tajam termasuk paku, batu dan kayu di atas jalan raya di Kilometer 20, Jalan Semporna-Tawau, dipanggil polis bersama ibu bapanya, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, tindakan itu diambil susulan laporan dibuat seorang individu berkaitan penemuan objek berbahaya itu kira-kira jam 7.30 pagi.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati objek tajam itu dibuang oleh kanak-kanak berusia 12 tahun yang tinggal berdekatan lokasi kejadian dengan tujuan sekadar untuk suka-suka.
“Ibu bapa bersama kanak-kanak terbabit kita panggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan berikan nasihat supaya mengawasi anak mereka serta tidak mengulangi perbuatan itu,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Mohd Sabri berkata, kejadian itu disedari seorang pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau yang melihat beberapa objek tajam seperti batu, kayu dan paku di atas jalan raya dipercayai diletakkan secara sengaja oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, pengadu bersama beberapa individu termasuk pemandu bas pelancong yang melalui kawasan itu kemudian bertindak membuang objek berkenaan bagi mengelak kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Tiada sebarang kemalangan berlaku dan pihak polis mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang peka serta prihatin dengan mengambil tindakan pantas sekaligus mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 56 saat, memaparkan pengguna jalan raya menemukan beberapa objek tajam seperti paku, batu dan kayu di atas jalan raya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.