Tumpuan :
Nasional

Bubar Parlimen? Perdana Putra Jadi Tumpuan

Bangunan Perdana Putra jadi tumpuan hari ini. FOTO: Wan Zairul Azri

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Putra di sini yang menempatkan pejabat rasmi Perdana Menteri menjadi tumpuan sama ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pengumuman pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat bertiup kencang apabila Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara kali kedua dalam tempoh empat hari, semalam.

FOTO: Wan Zairul Azri

 

Pengamal media sudah mula berkampung di hadapan pintu protokol bangunan berkenaan sejak jam 8 pagi, bagi menantikan pergerakan Perdana Menteri dan mendapatkan perkembangan terkini.

Pintu protokol yang lazimnya ditutup pada cuti umum namun dilihat dibuka menimbulkan tanda tanya adakah akan ada pengumuman penting daripada Datuk Seri Ismail Sabri hari ini.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di sebalik spekulasi mengaitkan pertemuan itu bagi memohon perkenan Seri Paduka untuk pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, Istana Negara menerusi catatan di Facebook memaklumkan, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet.

Terdahulu, akhbar tempatan New Straits Times (NST) melaporkan, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pada tengah hari semalam, dikatakan ada kaitan mengenai hal pembubaran Parlimen.

Sumber yang dipetik NST memaklumkan Parlimen mungkin dibubarkan seawal-awalnya esok.

Sementara itu, hasil semakan dan difahamkan, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang program rasmi di sebelah pagi hari ini.

Namun, Ahli Parlimen Bera itu dijadual menghadiri Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada jam 2.30 petang.

Selain itu, Datuk Seri Ismail Sabri juga dijangka menghadiri mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini, dipercayai bagi memperinci persiapan PRU15 serta memuktamadkan bentuk kerjasama dengan PAS pada PRU kelak.

Sekiranya Parlimen dibubarkan hari ini iaitu sembilan bulan sebelum penggalnya tamat, PRU kemungkinan diadakan pada minggu pertama November, berdasarkan amalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRU 2013 dan 2018.

Loading...
Terkini