Tumpuan :
Nasional

Buaya tembaga sesat di longkang diselamatkan

Anggota APM Unit Masjid Tanah bersama PERHILITAN Melaka menangkap buaya tembaga jantan sesat di longkang Kompleks LKIM, Kuala Linggi. FOTO NSTP

MASJID TANAH: “Mulanya pengawal keselamatan beritahu ada biawak besar di dalam longkang. Bila diperhatikan betul-betul saya terkejut mendapati ia seekor buaya dan terus menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam,” kata Penyelia Operasi Persatuan Nelayan Negeri Melaka, Irwan Shahril Md Kasim.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu beliau baru tiba di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Melaka (LKIM), Kuala Linggi, di sini, dan kejadian itu adalah pertama kali berlaku.

“Saya syak buaya itu masuk ke dalam saluran longkang ketika air pasang dan terperangkap di situ.

“Mujur tiada apa-apa bahaya berlaku dan terima kasih kepada pihak APM dan PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara yang menangkap buaya berkenaan dengan pantas dan cekap,” katanya dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah, Lt (PA) Noor Jauzi Hashim berkata, seramai empat anggota digegaskan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 7.44 pagi.

Katanya, sejurus tiba di tempat kejadian jam 8.26 pagi anggota APM dengan dipandu pengadu melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan buaya itu sebelum PERHILITAN tiba.

“Anggota APM bersama-sama PERHILITAN menangkap buaya berkenaan menggunakan peralatan khas dan operasi selesai kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya dihubungi.

Dalam pada itu, Pengarah PERHILITAN Melaka, Petra Sulai berkata, reptilia sepanjang 330 sentimeter (cm) dengan ukuran panjang kepala 73 cm, ekor (176 cm) dan berat kira-kira 220 kilogram adalah buaya jantan spesis tembaga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini