MELAKA: Seekor buaya tembaga jantan sepanjang 313 sentimeter (cm) ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Sungai Malim, Malim Jaya, dekat sini, hari ini.
Reptilia dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) itu ditangkap kira-kira jam 3.30 petang tadi menggunakan perangkap dan umpan hidup yang dipasang di sungai berkenaan.
Pengarah PERHILITAN Melaka, Petra Sulai berkata, buaya spesies tembaga itu adalah yang ketiga ditangkap pihaknya tahun ini selepas kes pertama dan kedua pada Mei dan Oktober lalu.
Menurutnya, perangkap berkenaan dialihkan ke lokasi itu berikutan ia tidak mengena ketika dipasang di beberapa lokasi di Sungai Ayer Salak, Kampung Tengah dekat Pulau Gadong, Klebang.
Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memancing dan ternampak buaya memasuki perangkap kira-kira jam 11 pagi.
“Mengikut SOP (prosedur operasi standard) kita tidak boleh menangkap buaya pada waktu siang kerana berisiko mati.
“Jadi kami tunggu cuaca kurang panas bagi mengelak ia stres dan syukur petang tadi hujan sekali gus kerja berjalan lancar.
“Panjang keseluruhan buaya ini adalah 313 cm dengan panjang kepala 66cm, lebar mata 12 cm dan panjang ekor 163 cm,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai dan penduduk sekitar supaya menjauhi kawasan buaya berkeliaran bagi mengelak risiko tidak diingini berlaku terutama ketika musim hujan.
Sementara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin turut meninjau operasi pemindahan buaya berkenaan.
“Sungai ini adalah habitat semulajadi buaya jadi kita akan terus berusaha untuk memastikan keselamatan penduduk dan saya difahamkan PERHILITAN akan terus memasang perangkap di sini.
“Orang ramai ada menyalurkan maklumat kepada PERHILITAN dan pihak berkuasa, cuma nasihat saya kepada orang ramai supaya berhati-hati,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.