Tumpuan :
Nasional

Buaya tembaga di Sungai Klang masih gagal ditangkap

KUALA LUMPUR: Buaya tembaga dianggarkan seberat hampir 500 kilogram (kg) dikesan gemar berkeliaran sepanjang Sungai Klang di sini sejak awal Januari lalu.

Kali terakhir Buaya Tembaga sama dikesan timbul berhampiran Masjid Jamek di sini, pada 25 Januari lalu, sebelum muncul sekali lagi berhampiran pusat beli-belah The Gardens Midvalley dan KL Eco City semalam.

Bagaimanapun sehingga petang ini, buaya berkenaan masih gagal ditangkap walaupun perangkap sudah dipasang.

Penemuan reptilia itu menarik perhatian orang ramai dan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Abdullah Hukum yang tinggal berhampiran sungai itu.

Difahamkan sepasukan lebih 15 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) diketuai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur Mej. (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soerharto didapati membuka pos operasi di atas jambatan di sungai berkenaan bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menangkap reptilia itu.

Mereka dilaporkan masih memantau kehadiran buaya selain membantu menurunkan sangkar perangkap petang semalam.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Wilayah Persekutuan, Ishak Muhammad berkata, perangkap dipasng untuk menangkap buaya dianggarkan sepanjang tiga meter itu.

“Usaha sedang dijalankan untuk memantau kawasan sekitar bagi mencari buaya dewasa itu.

“Berdasarkan pemerhatian kami terhadap video haiwan itu, kami percaya bahawa ia adalah buaya yang sama yang ditemui berhampiran Masjid Jamek baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata dengan bantuan daripada APM, pihaknya menggunakan bot untuk memantau sungai berhampiran kawasan yang terakhir kali buaya itu dilihat.

Terdahulu, sebuah video berhubung penemuan buaya itu tular di media sosial kelmarin, menarik perhatian orang ramai ke lokasi kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini