comscore
Tumpuan :
Nasional

Buaya Tasik Shah Alam, sangkar besi dipasang di lokasi sang bedal berada

 

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SHAH ALAM: Buaya yang muncul di Taman Tasik Seksyen 7, dikenal pasti spesis buaya tembaga dengan anggaran panjangnya 1.5 meter.

Pengarah PERHILITAN Selangor, Ts Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusof bagaimanapun memaklumkan jantina dan berat sang bedal tersebut belum dapat dipastikan.

 

“Berdasarkan bukti-bukti fizikal dan pemerhatian kita sepanjang dua hari, kita percaya hanya ada satu ekor,” katanya ketika ditemui dalam Op Buaya Shah Alam, di sini hari ini.

Krew Buletin TV3 menyertai operasi di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam yang sedang giat dijalankan oleh Jabatan Perhilitan Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sangkar besi seberat 200 kilogram diturunkan di permukaan air di lokasi aktif yang dipercayai sang bedal kerap muncul, kira-kira 5 meter dari tebing tasik.

Dua ekor ayam mentah turut diletakkan di dalam sangkar sebagai umpan.

“Kita pasang perangkap pertama di laluan utama dan kemudian kita akan pasang perangkap kedua di seberang tebing belah sana di mana ia merupakan laluan utama buaya yang kita dah kaji untuk 24 jam ini.

“Berdasarkan perilaku buaya ini, kita lihat pergerakannya tak jauh dari tebing sungai, jadi 5 meter dari tebing kita pasang perangkap dan kita gunakan perangkap terapung.

“Kalau ikut pengalaman kita sebelum ini (proses tangkapan) sehingga satu bulan, namun ia bergantung kepada perilaku buaya tersebut, kejayaan sesebuah operasi hidupan liar masuk perangkap ini bergantung kepada keadaan sekeliling, kalau dia rasa kurang terganggu dan rasa selamat mungkin lagi cepat dia masuk perangkap tu, dengan sumber makanan yang betul.

Ujarnya lagi, pihaknya turut meminta MBSA memerangkap lima saluran yang berada di sekeliling tasik untuk memastikan buaya tersebut berada di lokasi yang sedang dipantau.

“Pihak MBSA akan pastikan laluan-laluan itu ada jaring, laluan itu pun ada perangkap sampah, jadi untuk pastikan buaya tidak terlepas, kita akan pasang jaring untuk pastikan buaya ada di sini dan memastikan kejayaan operasi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini