Tumpuan :
Nasional

Buaya Tasik Kiambang Serendah diburu

Kakitangan PERHILITAN Selangor memasang perangkap susulan kehadiran seekor buaya yang dikesan di Tasik Kiambang, Serendah. FOTO: PERHILITAN SELANGOR

HULU SELANGOR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor melancarkan operasi memasang perangkap susulan kehadiran seekor buaya yang dikesan di Tasik Kiambang, Serendah, di sini.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, operasi yang bermula awal bulan ini dilakukan sehingga haiwan liar itu masuk ke dalam perangkap.

“Kami menerima aduan awam berhubung kehadiran buaya di tasik ini yang berhampiran dengan kawasan penempatan dan popular untuk pemancing.

“Hasil pemerhatian secara langsung mengesahkan kehadiran buaya itu yang dianggarkan sepanjang lima ke enam kaki (1.5 ke 1.8 meter),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor memasang perangkap susulan kehadiran seekor buaya yang dikesan di Tasik Kiambang, Serendah. FOTO: Ihsan PERHILITAN SELANGOR

Wan Mohd Adib berkata, sebelum itu aduan pertama diterima pada Disember tahun lalu dan pemantauan segera dijalankan, diikuti aduan seterusnya bulan lalu dan perkara itu disahkan menerusi pemerhatian secara langsung.

“Pemasangan perangkap ini untuk tujuan keselamatan awam dan translokasi buaya tersebut ke kawasan habitat lain.

“Orang awam terutamanya pemancing diminta berwaspada dan berhati-hati semasa melakukan aktiviti. PERHILITAN akan terus memantau tasik tersebut sehingga buaya itu ditangkap demi menjamin keselamatan orang awam,” katanya.

Loading...
Terkini