PASIR MAS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap buaya sesat selepas banjir di parit Kampung Sakar Sungai, di sini, hari ini.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya memasang perangkap untuk menangkap buaya itu selepas menerima aduan pada 1 Januari lalu.
Katanya, buaya berkenaan dipercayai tersesat dari Sungai Kelantan yang berjarak satu kilometer (km) dari lokasi ditemui penduduk.
“Pemeriksaan dan pengukuran morfologi dilaksanakan ke atas buaya terbabit dan operasi pemindahan akan dilaksanakan segera ke habitat asal yang sesuai dan jauh daripada kawasan penempatan,” katanya hari ini.
Beliau juga menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan hidupan liar.
Sebelum ini, media melaporkan buaya sepanjang kira-kira dua meter terperangkap di alur sungai di kawasan berkenaan, dipercayai tersesat ketika banjir.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan, namun gagal mengesan haiwan itu sebelum kes dimaklum kepada Perhilitan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.