comscore
Tumpuan :
Nasional

Buaya muncul 5 minit ketika operasi PERHILITAN dan MBSA 

 

SHAH ALAM: Seekor buaya mula menunjukkan kehadirannya kira-kira jam 5 petang tadi ketika operasi dijalankan pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Buletin TV3 yang turut mengikuti operasi itu mendapati, buaya terbabit mula muncul kira-kira setengah jam selepas operasi bermula.

Bagaimanapun buaya berkenaan hanya muncul selama lima minit sebelum hilang semula.

Menurut Pengarah PERHILITAN Selangor, Ts Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusof, operasi untuk menangkap buaya berkenaan akan dilakukan dalam kadar segera.

Bagaimanapun, beberapa siasatan perlu dilakukan sebelum perangkap diletakkan di kawasan tasik itu.

“Hari ini kita buat pemantauan, untuk menangkap buaya ini kita perlu faham dulu kelakuan buaya ini terutama di mana lokasi dia berehat, kawasan kerap dia timbul dan malam di mana kawasan persembunyiannya.

“Perkara ini perlu masa sedikit untuk kita siasat sebelum kita pasang perangkap supaya operasi ini berjaya,”jelasnya ketika ditemui petang tadi.

Tambahnya, buaya berkenaan akan dipindahkan ke Sanctuary Buaya di Paya Indah Wetland selepas berjaya ditangkap.

“Buaya ini jika berjaya kita akan pindahkan ke Paya Indah Wetland di sana kita ada Sanctuary Buaya kita akan lepaskan.

“Kalau ikut rekod sebelum ini di Shah Alam pada tahun 2019 dah ada kemunculan buaya di sebuah tasik di Shah Alam, kemudian awal tahun ini di Serendah di kawasan tasik juga ada buaya,”katanya lagi.

Dalam pada itu, pemerhatian Buletin TV3 juga mendapati, kain rentang telah dipasang oleh pihak berkuasa bagi memberi peringatan kepada orang awam yang beriadah di kawasan itu.

Kemunculan sang bedal itu tular di laman sosial hari ini mengundang kegusaran orang awam di sekitar Shah Alam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini