Tumpuan :
Nasional

Buaya Julung-Julung ditemui mati di Sungai Tengi

FOTO: Ihsan PERHILITAN Selangor

TANJONG KARANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan seekor buaya dari spesis Julung-Julung ditemui mati di Sungai Tengi, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, terdahulu pihaknya mengesan beberapa gambar yang tular di laman sosial memaparkan pemancing menemui bangkai haiwan liar seberat kira-kira 250 kilogram itu, jam 8 malam.

Beliau berkata, siasatan dan tinjauan dilakukan di tempat kejadian selain menjalankan temubual dengan penduduk kampung kawasan terbabit.

“Hari ini, sepasukan anggota Perhilitan daerah Sabak Bernam pergi ke lokasi dengan dibantu oleh individu yang menemui bangkai buaya itu menaiki bot di jeti Ban Canal.

“Buaya Julung-Julung jantan sepanjang tiga meter itu ditemui di Sungai Tengi yang jaraknya kira-kira 10 kilometer daripada jeti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

FOTO: Ihsan PERHILITAN Selangor

Wan Mohd Adib berkata, bangkai buaya itu dibawa naik ke darat melalui jeti dan kemudian dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama katanya, hasil siasatan mendapati hidupan liar itu tersangkut pada bubu yang dipasang nelayan di sungai terbabit yang mengakibatkan ia lemas dan mati.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendirian.

“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini