![](https://media.buletintv3.my/2025/02/ZANHe0cT-BULETIN-TV3-AD-23.jpg)
Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Suasana di sekitar muara Sungai Gombak dan Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek, di sini, kekal tenang meskipun selepas penampakan seekor buaya pada Jumaat lalu.
Tinjauan Buletin TV3 mendapati rata-rata warga kota meneruskan rutin harian seperti biasa, dengan orang ramai menggunakan laluan pejalan kaki tanpa sebarang sekatan. Malah, kontraktor pembersihan juga menjalankan tugas mereka seperti biasa di sepanjang sungai itu.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, mengesahkan penampakan reptilia berkenaan dan memaklumkan pihaknya sedang dalam proses menaikkan papan tanda amaran di lokasi terbabit.
Namun, pemerhatian di sekitar sungai hari ini mendapati papan tanda amaran tersebut masih belum dipasang.
Seorang pengunjung, S. M. Katayah Yasin, 68, mengakui berasa bimbang selepas mengetahui penemuan haiwan itu di kawasan bandar.
“Sebelum ini memang tidak pernah ada, dan kali pertama saya tengok (video), saya rasa hairan dan timbul rasa takut.
“Saya bimbang buaya itu naik ke darat dan membahayakan orang awam,” katanya yang sudah lapan tahun menggunakan laluan pejalan kaki berhampiran sungai itu untuk ke tempat kerja.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Zainuddin Said, 50, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Saya tidak tahu tentang kehadiran buaya di kawasan ini. Selalunya hanya biawak yang saya nampak, dan memang banyak ikan di sungai ini.
“Kehadiran buaya mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung kerana ia haiwan berbahaya dan boleh terlepas ke kawasan sekitar,” ujarnya.
Sementara itu, pelancong dari Indonesia, Warlina Wagino, 48, turut berharap buaya tersebut dapat ditangkap segera.
“Ini kali pertama kami ke Malaysia, dan apabila mendengar berita mengenai buaya di sini, kami agak terkejut. Kami berharap ia dapat ditangkap dengan segera supaya tidak menakutkan pelancong lain,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 32 saat yang memaparkan kelibat seekor buaya di sungai berkenaan. Rakaman itu dipercayai dibuat oleh orang awam yang melalui laluan berhampiran lokasi kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.