LAHAD DATU: Penduduk Kampung Remang di sini malam tadi dikejutkan dengan kehadiran seekor lagi buaya besar yang ditangkap dan ditembak pihak berkuasa.
Buaya sepanjang 4.8 meter dan lebar satu meter itu ditemukan di belakang rumah penduduk kampung itu.
Penduduk Kampung Remang malam tadi dikejutkan dengan kehadiran seekor lagi buaya besar yang ditangkap dan ditembak pihak berkuasa. pic.twitter.com/9GoBLLkSO9
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 15, 2023
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin, berkata bertindak atas aduan kehadiran reptilia itu, sepasukan kakitangan JHL Lahad Datu bergegas ke lokasi berkenaan.
Katanya, hasil pemantauan, mendapati terdapat seekor buaya di belakang rumah penduduk Kampung Remang.
“Lapan das tembakan dilepaskan pada jam 10.37 malam. Semua tembakan mengenai buaya berkenaan. Bangkai buaya itu kemudian dibawa ke perumahan JHL Lahad Datu untuk dilupuskan,” katanya.
Buaya itu hampir sama dengan saiz buaya yang turut ditembak mati di Kampung Desa Bajau, Isnin lalu.
Sebelum ini, seekor buaya seberat lebih 1.2 tan ditangkap sebelum ditembak pihak berkuasa di Kampung Desa Bajau.
Tujuh das tembakan dilepaskan termasuk di kepala menyebabkan reptilia sepanjang hampir lima meter itu mati.