TUMPAT: Seekor buaya sepanjang tiga meter muncul di kawasan sawah di Kampung Nechang, di sini, petang semalam.
Buaya berkenaan dipercayai datang dari kawasan sungai berhampiran, sebelum ia dilaporkan kepada pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Zamri Omar berkata, beberapa anggota yang kebetulan melakukan pemantauan paras air di kawasan sekitar kemudian dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan.
“Memang ada seekor buaya di dalam sawah kampung itu dan dipercayai ia datang dari sungai berhampiran.
“Pasukan kami menghalaunya masuk semula ke Sungai Pengkalan Nangka dan usaha itu memakan masa kira-kira 10 minit,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata, tidak dapat dipastikan dari mana buaya itu datang memandangkan kejadian sebegitu kali pertama berlaku di kawasan terbabit sekali gus mencetus kegemparan penduduk sekitar.
“Kita nasihatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan berisiko banjir berhati-hati terhadap ancaman haiwan liar yang mungkin datang sepanjang musim tengkujuh,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.