PASIR MAS: Buaya sepanjang kira-kira dua meter dipercayai tersesat ketika banjir dilaporkan terperangkap di alur sungai di Lorong Masjid, Kampung Tal Tujuh di sini, hari ini.
Bagaimanapun, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Pasir Mas yang ke lokasi selepas menerima laporan mengenainya pada 9.02 pagi gagal mengesan haiwan terbabit.
Ketua BBP Pasir Mas Mohd Azmi Hussin berkata, sebaik tiba di lokasi berkenaan anggota membuat pemeriksaan terperinci namun tidak berjaya menemukan buaya berkenaan selain berkemungkinan sudah melepaskan diri dari kawasan berkenaan.
Menurutnya, pihaknya kemudiannya memaklumkan kes berkenaan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan untuk membantu mencari serta menangkap buaya terbabit.
“Ada saksi kongsikan gambar haiwan terbabit dan kami percaya ia bergerak ke lokasi lain di dalam sungai yang sama.
“Selain itu, haiwan terbabit disyaki dari Sungai Kelantan yang mana disyaki sesat ketika banjir melanda tempoh hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Azmi turut menasihatkan penduduk kampung agar menjauhi kawasan sungai berkenaan sementara pihak bertanggungjawab mengesan serta menangkap buaya terbabit.
“Penduduk diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati memandangkan musim tengkujuh juga masih belum tamat bagi mengelak perkara tidak diingini terjadi.
“Bagaimana pun, jika ada yang melihat kehadiran haiwan berkenaan boleh segera menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.