comscore
Tumpuan :
Nasional

Buat tuntutan palsu, Pengurus Besar PPK Gerik didakwa di mahkamah

Mohd Fuad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini, atas dua pertuduhan memalsukan dokumen, lima tahun lalu. FOTO: NSTP

IPOH: Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memalsukan dokumen, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Fuad Omar, 40, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengemukakan invois palsu atas nama syarikat DANS AUTO bertarikh 30 September 2019 berjumlah RM1,975 berkaitan bayaran penyelenggaraan kenderaan pejabat PPK jenis Toyota Hilux, sedangkan invois asal hanya berjumlah RM288.30 bagi memperdaya prinsipalnya di Pejabat PPK Gerik, daerah Hulu Perak, pada September 2019.

Bagi pertuduhan kedua, bapa tiga anak itu didakwa menggunakan invois palsu atas nama syarikat SLL Machinery Hardware Sdn Bhd bertarikh 11 September 2019 berjumlah RM1,155.20 bagi pembelian barangan untuk kegunaan di kedai Agrobazar PPK Gerik sedangkan invois asal hanya berjumlah RM167.60 bagi maksud mengelirukan prinsipalnya di lokasi dan masa sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Dia juga tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan berkaitan pemalsuan dokumen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Mohd Pahmi Ahmad dan Sharul Azuan Ghazali menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai penolong hal ehwal ekonomi di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak dengan pendapatan bulanan RM4,600 perlu menanggung tiga anak masing-masing berusia 12 dan kembar berusia setahun.

“Selain itu, anak guam ada penyakit diabetes dan menerima rawatan di hospital,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh mesti melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 14 November depan untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini