comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu buat solat hajat mohon Damia segera ditemui

MOHD Noor (tengah) dan Farah, ibu bapa kepada Nur Damia Qiasara yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Petai Dusun kira-kira jam 6.30 petang.-NSTP

RANTAU PANJANG: “Saya tidak dapat tidur malam tadi dan melakukan solat hajat dengan harapan semoga anak saya, Damia, segera ditemui,” luah Farah Adnan, 32.

Farah adalah ibu kepada Nur Damia Qiasara Mohd Sabri, 11, yang masih hilang selepas terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun, Baroh Pial, di sini, jam 6.30 petang, semalam.

Katanya, dia pulang ke rumah selepas dinasihati suami, Mohd Sabri Mohd Noor, 33, selain perlu menjaga dua lagi anak berusia dua dan tujuh tahun kerana rumahnya turut dilanda banjir.

“Tiada apa yang mampu saya lakukan selain memohon pada Yang Esa supaya Damia segera ditemui. Setiap kali memikirkan nasib anak saya, air mata ini mengalir selain masih berharap semoga dia ditemui selamat.

“Saya turut mendapat perkongsian video terakhir dia bermain air semalam, wajahnya nampak gembira dan teruja, malah dia serta rakanya yang ditemui meninggal dunia, Siti Aishah Mahzi, 11, turut menyanyi kegembiraan.

“Dugaan bagaikan bertimpa-timpa, sudahlah anak masih belum ditemui, kediaman saya pula dinaiki air separas 0.7 meter dan biasanya lami sekeluarga akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial untuk berlindung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam media melaporkan, murid perempuan Tahun Lima ditemukan lemas, manakala rakannya masih hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Siti Aisyah 11, dijumpai lemas dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah (HTM) manakala Damia, masih belum ditemui.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin, ketika dihubungi berkata, seramai enam anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terbabit dalam misi menyelamat.

“Operasi mencari dan menyelamat disambung hari ini bermula jam 8 pagi selepas ditamatkan pada tengah malam tadi atas faktor keselamatan.

“Anggota berhadapan kesukaran susulan paras air yang bertambah serta hujan lebat tetapi akan terus memberi perkhidmatan terbaik agar mangsa segera ditemui,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini