![](https://media.buletintv3.my/2025/02/jzZok758-TEMPLATE-REVAMP-CMS-BIRU-LATEST-Copy.jpg)
SEPANG: Pasangan warga China yang membuat kekecohan di pesawat yang hendak berlepas ke Jieyan Chaosan, China, di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini, Ahad lalu ditahan polis selepas mereka disahkan tidak mengalami sebarang masalah mental.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah berkata, pasangan berkenaan sebelum ini berkelakuan agresif dan tidak siuman ketika di dalam pesawat yang hendak berlepas.
“Susulan itu, polis menerima laporan daripada petugas keselamatan pesawat berhubung kekecohan berkenaan sebelum pasangan itu dikeluarkan dari pesawat.
“Polis pada mulanya menjalankan sesi pertanyaan namun pasangan itu gagal memberi kerjasama dan bertindak agresif sebelum mendapatkan bantuan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis kemudian membawa pasangan berkenaan ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang bagi menjalani pemeriksaan kerana dipercayai kurang siuman.
“Namun selepas tiga hari menjalani pemeriksaan, pasangan berkenaan disahkan tidak mengalami sebarang masalah mental.
“Susulan itu polis menahan pasangan berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Kedua-dua suspek akan dituduh esok,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.