![](https://media.buletintv3.my/2025/02/f019855f-3954-4ee5-aaf7-8046d9278222.jpg)
KUALA LUMPUR: Dua pempengaruh Malaysia, Aras Abdullah dan Ammar Mohd Nzahan yang terbabit dalam pembuatan kandungan media sosial palsu di Bandung, Indonesia boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melakukan sebaran yang tidak wajar.
Mengikut kesalahan di bawah Seksyen 233 penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, mereka boleh disabitkan dan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Malah, sekiranya didapati masih melakukan kesalahan sama selepas pensabitan, mereka juga boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari (kesalahan selepas sabitan) atau sebahagian daripadanya sehari.
Peguam Haziq Aizuddin Subhi berkata, kesalahan di bawah Seksyen 233 bermaksud sebarang penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar.
Iaitu, katanya, membuat, mencipta atau meminta serta memulakan penyebaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perwatakan dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Atau memulakan komunikasi menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi sama ada secara berterusan, berulang kali atau sebaliknya semasa komunikasi mungkin atau mungkin tidak berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identiti dan dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, melakukan kesalahan.
“Ia juga menyatakan, seseorang secara sedar, melalui perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, menyediakan sebarang komunikasi lucah untuk tujuan komersial kepada mana-mana orang;
“…atau membenarkan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang itu digunakan untuk aktiviti yang diterangkan dalam perenggan (a), melakukan satu kesalahan,” katanya kepada BH, hari ini.
Tular di Malaysia sejak semalam, Aras dan Ammar yang terbabit dalam pembuatan kandungan media sosial yang mendakwa rakan mereka hilang dalam hutan di Bandung, Indonesia, memohon maaf secara terbuka.
Melalui video dimuat naik portal berita Indonesia, KumparanNews di laman sosial mereka, Aras Abdullah dan Ammar Mohd Nzahan memohon maaf atas kejadian itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Kelmarin, polis Indonesia berkata, dua pempengaruh berkenaan hanya berlakon berhubung kehilangan rakan mereka.
Beberapa hari lalu, media melaporkan pempengaruh media sosial dikenali sebagai Eyka dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di Bandung ditemukan selamat selepas tiga hari hilang. Penemuan itu dikongsi menerusi penstriman langsung di TikTok @Arasz sebelum ia tular.
Ditanya mengenai kandungan melampau dua pempengaruh itu, Haziq Aizuddin secara peribadi bersetuju agar pihak MCMC mengambil tindakan wajar dan tegas sebagai pengajaran serta tegahan agar para pencipta kandungan lain tidak sewenang-wenangnya membuat langkah yang boleh merisikokan imej negara.
“Berdasarkan pemerhatian, insiden yang diterbitkan oleh pencipta kandungan itu sudah disahkan sebagai palsu dan wujud keterangan rasmi daripada pihak berkuasa juga memenuhi elemen serta peruntukan di bawah Seksyen 233.
“Meneliti beberapa siaran media yang tular, ternyata wujud elemen palsu yang disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia sekali gus berpotensi menjadikan nama negara sebagai bahan jenaka oleh pencipta kandungan tempatan mahupun antarabangsa.
“Soalnya terletak pada pihak berkuasa sama ada mahu bertindak tegas atau sebaliknya,” katanya.
Katanya, sudah tiba masanya untuk negara mewujudkan satu jabatan yang bertujuan memantau kandungan sebegini agar ia tidak melampau dan tidak membabitkan unsur yang boleh menjejaskan nama negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.