Tumpuan :
Nasional

Buang bangkai kucing: Polis sahkan terima laporan

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Polis telah menerima laporan berhubung beberapa ekor kucing yang mati ditemukan dalam tong sampah di Paya Terubong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya telah mengesan video tular di media sosial pada jam 5.20 petang, semalam.

Katanya, video itu memaparkan kejadian beberapa ekor kucing telah mati dan dibuang di dalam tong sampah.

“Pihak polis telah menerima satu laporan polis pada jam 4.29 petang daripada pengadu seorang lelaki warga tempatan berumur 49 tahun mengenai kejadian tersebut.

“Laporan polis tersebut telah diklasifikasi sebagai rujuk lain agensi (RLA).

“Ia akan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Video berdurasi 30 minit yang menunjukkan lokasi Jalan Jeti Jelutong, Paya Terubong itu memaparkan perakam berjalan ke arah sebuah tong sampah berwarna jingga.

Kemudiannya, ia memaparkan beberapa ekor kucing yang mati diletakkan dalam beg plastik hitam dibuang dalam tong sampah terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini