Oleh: Kumaran Rajamoney
KULIM: Pokok buah mentega merupakan tumbuhan hutan yang jarang ditanam atau dijumpai, kerana buahnya kurang dipromosi atau dijual.
Buahnya berwarna merah menyerupai epal, dan isinya pula mirip buah setoi enak dijadikan pencuci mulut dalam pelbagai variasi.
Ahmad Che Ad, dari Kampung Desa Teruna di Sedim dekat sini antara individu yang memiliki pokok buah mentega ini.
Sudah berusia hampir 50 tahun, pokok itu lazimnya mengeluarkan buah secara bermusim sekali dalam setahun.
“Saiz buahnya hampir sebesar kepal tangan manusia normal dan akan ranum di pokok. Ia boleh dipetik, atau dikutip apabila gugur ke tanah. Pokok ini secara fizikalnya juga agak tinggi.”
“Buah ini rasanya tidak terlalu manis, namun berlemak dan sesuai dimakan sebagai juadah pencuci mulut. Lazimnya ia akan dimakan dengan campuran bersama susu yang disejukkan. Ia boleh juga dipotong kecil dan dicampur dalam makanan lain seperti ais krim atau cendol,” katanya.
Di Sedim, hanya dua batang pokok ditanam di dua kampung berbeza dan menuai hasil saban tahun.
“Meskipun penanamannya tidaklah sukar kerana ia boleh tumbuh dengan sendiri, namun ia tidak ditanam secara meluas kerana tiada nilai komersial.”
“Penjagaan pokok ini tidak sukar. Kaedah pembajaan dan kawalan ulat sama seperti pokok buah-buahan yang lain. Saya bercadang untuk menanam beberapa batang lagi pokok ini bagi mengelakkan ianya pupus,” tambahnya.
Musim buah mentega pada tahun ini yang tiba ketika Ramadan, sekaligus membolehkan ia dijadikan juadah pencuci mulut ketika berbuka puasa.
Ahmad juga mengagihkannya kepada jiran dan penduduk di sekitar bagi membiasakan generasi muda dengan rasa enak buah itu.
“Anak cucu saya sememangnya menggemari rasa buah ini. Harapan saya agar lebih ramai individu tahu dan mahu mengenali buah yang tinggi khasiat ini agar ianya tidak pupus.”
Secara tradisinya, buah ini dipercayai membantu merawat sakit sembelit, mempunyai manfaat mengurangkan rabun dan penyakit selaput mata serta membantu melambatkan proses penuaan untuk tujuan kecantikan diri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.