Tumpuan :
Nasional

BSN dicadang tawar skim pinjaman Pendidikan untuk aliran TVET

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan skim pinjaman pendidikan bagi aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, langkah itu bagi membantu golongan muda khususnya di kawasan desa mendapatkan peluang pendidikan termasuk dalam aliran berkenaan.

Beliau berkata BSN adalah rakan strategik kementerian itu dan usahasama perlu terus diperkukuhkan untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan rakyat terutama di kawasan desa termasuk dalam bidang pendidikan.

“BSN boleh menyokong pendidikan di kawasan desa dengan menyediakan skim pinjaman pendidikan yang mudah untuk golongan muda di kawasan desa terutamanya yang ingin mengikuti pendidikan aliran TVET atau keusahawanan berkaitan halal.

“Usaha ini dilihat mampu meningkatkan modal insan seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan,” menurut teks ucapan beliau pada Majlis Sambutan Ulang Tahun BSN ke-50 yang diedarkan kepada media di sini malam ini.

FOTO: NSTP

Selain Ahmad Zahid, majlis yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi BSN Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin serta 1,200 tetamu terdiri daripada petugas BSN dari seluruh negara.

Ahmad Zahid turut mencadangkan BSN menyediakan Skim Pembiayaan Mikro Khas untuk usahawan kecil di kawasan desa dan KKDW boleh membantu dalam mengenal pasti kumpulan sasaran seperti wanita desa, belia, dan petani.

Beliau berkata kerjasama strategik KKDW dan BSN perlu diperkukuhkan untuk memperkasakan ekonomi dan melahirkan masyarakat desa yang cakna terhadap pengurusan kewangan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga bekas pengerusi keempat BSN pada 1995 hingga 1998, mengingatkan semua warga bank itu untuk melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Keluarga BSN ini sangat dekat dengan saya…untuk menjadi sebuah institusi perbankan yang sentiasa dipandang tinggi dan menjadi pilihan rakyat, setiap anggota BSN berperanan besar memastikan perkhidmatan dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan ikhlas,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini