KUALA LUMPUR: Sebanyak RM622.88 juta diperuntukkan kerajaan untuk bantuan sara hidup (BSH) bagi nelayan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2022.
Insentif sama turut diteruskan tahun ini, dengan peruntukan RM147.3 juta, merangkumi nelayan laut dan darat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bantuan dilaksanakan sejak 2008 bertujuan meringankan beban golongan nelayan yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
“Nelayan laut menerima elaun RM300 sebulan manakala nelayan darat menerima RM250.
“Sepanjang 2018 hingga 2002, jumlah sara hidup nelayan adalah RM622.88 juta dan pada 2023, sebanyak RM147.3juta diperuntuk untuk program ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin mengetahui jumlah bantuan sara hidup yang disalur kepada nelayan di setiap negeri dari 2018 sehingga 2022.
Mohamad berkata, pelbagai bantuan lain disasarkan untuk golongan nelayan, antaranya skim subsidi diesel dengan nilai subsidi ditanggung kerajaan dari 2018 hingga 2022 mencecah RM3.61 bilion.
“Melalui skim subsidi nelayan, mereka boleh dapat harga diesel serendah RM1.65 seliter dan kerajaan membelanjakan RM3.61 bilion untuk itu.
“Kerajaan turut memperkenalkan insentif hasil tangkapan dengan program ini membabitkan nelayan bot A, B dan C bermula 2008 hingga sekarang manakala setiap tangkapan untuk sekilogram dibayar tambahan 10 sen oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Nelayan bot A menerima bantuan RM150, bot B sehingga RM750 dan bot C sehingga RM1,000. Sejumlah RM74 juta dibayar kepada 29,529 nelayan bagi tempoh 2018 hingga 2022,” katanya.
Mohamad berkata, kerajaan turut memperkenalkan skim bantuan bencana alam dan kebajikan nelayan sejak 2019 sehingga tahun ini.
Menjawab soalan tambahan Muslimin mengenai strategi kementerian bagi kawalan harga ikan semasa, Mohamad berkata, LKIM banyak berperanan menangani krisis berkenaan.
“Dalam waktu tertentu dengan tangkapan nelayan berkurangan, harga ikan basah akan menjadi agak tinggi.
“Justeru, LKIM menyediakan ikan beku import untuk dijual di pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pasar segar Lembaga Pertubuhan Peladang dan pasar LKIM dengan harga RM10 sekilogram.
“Ini bagi menyeimbangi keadaan semasa dan dalam masa sama, intervensi tetap dilaksanakan.
“Kita sedar permainan orang tengah sehingga menyebabkan harga ikan kalau dibeli di tepi laut atau yang dijual di pasar, harganya terus melambung tinggi,” katanya.
Beliau memberi jaminan LKIM akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kawalan harga ikan di seluruh negara.