BENTONG: Brek sebuah lori yang tidak berfungsi menyebabkan tiga individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 42.9, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hala timur, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan berlaku jam 9.20 malam membabitkan masing-masing sebuah lori, treler dan kereta.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika lori dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun bersama kelindan dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menghala ke Kuantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, brek lori berkenaan dikatakan tidak berfungsi ketika menuruni bukit sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun.
“Malah, lori berkenaan juga bergesel dengan kereta Proton Saga berada di hadapan yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaiham berkata, akibat kemalangan itu, pemandu dan kelindan lori serta seorang lelaki cedera pada bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan. – HARIAN METRO