Oleh: Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Tanggungjawab pembangunan pendidikan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan perlu dipikul bersama agensi kerajaan, bukan kerajaan, sekolah termasuk NGO dalam membangunkan keperluan bahan bacaan Braille.
Sempena sambutan Hari Braille Sedunia hari ini, Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) berharap akses meluas kepada informasi dalam format Braille dipertingkatkan.
Menurut Presidennya , Muhammad Huzaifah Ahmad, 44, dunia tanpa warna bukanlah kegelapan semata-mata bagi golongan orang kurang upaya penglihatan.
Sebaliknya mengakui ia adalah ruang eksklusif yang dipenuhi dengan kepekaan dan kreativiti.
Lalu menjelaskan sistem penulisan Braille adalah jambatan untuk mereka mengakses ilmu dan membina masa hadapan.
“Dimana dengan mempelajari tulisan Braille, mengenali tulisan Braille dan memahami tulisan Braille ini membolehkan OKU penglihatan mendapat akses kepada pendidikan
“Terutama sekali di pendidikan awam untuk mencapai peringkat tertinggi,” ujarnya ketika ditemui Buletin TV3, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Huzaifah berkata, asas tulisan Braille mempunyai enam titik tersusun secara menegak dalam satu sel dan sistem itu, ia bukan sekadar huruf yang timbul di atas kertas.
Justeru, berbekalkan asas enam titik tersebut, terciptanya perwakilan bagi setiap huruf, perkataan, tanda baca, nombor dan simbol untuk bacaan orang buta.
Kini, Braille telah diperluaskan seiring perkembangan teknologi untuk kemudahan mereka.
“Teknologi sekarang boleh dikatakan sangat membantu OKU Penglihatan di dunia, khususnya di Malaysia
“Di mana teknologi-teknologi yang dibawa masuk dapat membantu orang buta mengakses kepada maklumat lebih banyak”, katanya.
Dalam pada itu Huzaifah menambah, penciptaan Braille memberikan sinar kepada kegelapan dunia penglihatan golongan senasibnya.
Akuinya, kebergantungan komuniti orang buta kepada Braille memudahkan kehidupan seharian, sekaligus memberi gambaran jelas akan pentingnya sokongan terhadap penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan Braille.
“Saya berharap agar lebih banyak akses kepada tulisan Braille dab bahan-bahan maklumat berkaitan tulisan Braille ini dapat diwujudkan di Malaysia
“Terutama sekali buku-buku di tempat awam ataupun pembangunan infrastruktur awam yang memudahkan orang buta untuk bergerak” katanya.
Sementara itu, Hari Braille Sedunia yang disambut pada 4 Januari setiap tahun memberi penghormatan kepada pencipta sistem Braille, Louis Braille.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.