
Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi Tahun 2025 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Terengganu akan mula diedarkan esok.
Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Terengganu, Ahmad Suffian Zulkipeli, berkata Kawal Selia Padi dan Beras Putrajaya telah melantik beberapa pemborong beras bagi menyertai program khas ini untuk mengedarkan BPT ke pasaran runcit di seluruh negeri, termasuk Terengganu.
“Bagi negeri Terengganu, jangkaan edaran akan bermula esok, 2 Mac 2025, oleh syarikat yang dilantik, dengan bekalan diagihkan ke pasar raya dan kedai runcit di seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, jumlah kampit beras yang akan diedarkan di Terengganu bergantung kepada tempahan daripada pasar raya dan kedai runcit.
“Jualan BPT akan disalurkan kepada mana-mana peruncit yang memiliki lesen beras runcit yang dikeluarkan oleh pihak Kawal Selia Padi dan Beras,” ujarnya.
Bagaimanapun, pengedaran tetap bergantung kepada pemborong berdasarkan kuota yang telah ditetapkan oleh agensi berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.