Tumpuan :
Nasional

Boustead Plantations Teroka Tanaman Pintar Cili, Halia

Oleh Juliana Ismail

Boustead Agro Plantations Sdn Bhd menandatangani Dokumen Persefahaman (DoU) dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) bagi meneroka pasaran tanaman komersial cili dan halia yang berpandukan teknologi dan mampan.

Kerjasama menerusi anak syarikat Boustead Plantations Bhd BPB itu membolehkan kedua-dua pihak memula dan membangunkan projek tanaman kontan itu secara siap guna melalui penggunaan sistem fertigasi pintar dan pertanian pintar Internet Pelbagai Benda (IoT).

BPB akan memberi komitmen untuk mengusahakan tanaman komersial di tanahnya sementara PPKKL akan menyediakan kepakaran teknikal, bimbingan dan latihan bagi memastikan tanaman itu membuahkan hasil.

Usaha itu sekaligus menjadi langkah pertama BPB untuk memanfaatkan sumber pasaran pertanian lain selain perniagaan perladangan sawit huluan sedia ada.

“Pembabitan syarikat dalam perniagaan tanaman komersial membuktikan kesungguhan BPB untuk membantu kerajaan dalam menangani isu sekuriti makanan di Malaysia” kata Ketua Pegawai Eksekutif BPB Zainal Abidin Shariff.

Ia juga seiring dengan komitmen syarikat terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang kedua iaitu sasaran untuk mencapai sifar kelaparan menjelang 2030.

“Berpandukan strategi Penciptaan Semula Boustead, matlamat utama kami adalah untuk mencapai pertumbuhan yang mampan bagi tempoh jangka panjang dengan mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.

BPB adalah antara syarikat perladangan sawit huluan paling berpengalaman dan kukuh di Malaysia dengan pemegang saham utama yang terdiri daripada Boustead Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Loading...
Terkini