Oleh: Kumaran Rajamoney
PEDU: Mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas selepas bot terbalik di Empangan Pedu, Khamis lalu ditemukan lemas pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditemui sekitar jam 8.05 pagi tadi ketika usaha pencarian dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menggunakan kaedah pencarian di permukaan (Surface Searching).
Ketua Zon 1, KBPM Negeri Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminuddin Abd Rahim dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu memasuki hari ke-empat, dengan kekuatan 40 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi.
“Mayat mangsa, Ooi Swee Hin dijumpai terapung dalam radius 1.5 kilometer daripada lokasi mangsa jatuh bot dan dibawa ke pos kawalan Bomba untuk diserahkan kepada Polis.”
“Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya.
Pada Khamis, mangsa bersama rakannya Lim Yew Leong, 50-an dilaporkan menyewa sebuah bot untuk keluar memancing di empangan itu.
Bagaimanapun, keadaan hujan sekitar jam empat petang mengakibatkan bot dinaiki mangsa terbalik.
Yew Leong dijumpai tekong bot yang melalui kawasan itu kira-kira dua jam kemudian dalam keadaan berpaut pada tunggul kayu dalam keadaan letih dan lesu.
Usaha pencarian dimulakan bagi mengesan Swee Hin menggunakan pelbagai kaedah termasuk selaman sedalam 25 meter, serta pencarian di permukaan sebelum mayat ditemukan pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.