TANJUNG MANIS: Seorang nelayan dilaporkan masih hilang manakala lima lagi selamat selepas bot mereka karam akibat di dibadai ribut sekitar jam 6.30 petang Isnin.
Insiden terbabit dilaporkan oleh oleh nelayan lain susulan penemuan bot serta peralatan yang terapung pada jarak sekitar tujuh batu nautika Barat Laut perairan Tanjung Jerijeh.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, lima mangsa ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan lain sekitar jam 12.40 tengahari semalam manakala seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang.
“Berdasarkan maklumat dari salah seorang mangsa yang selamat, mereka telah dibadai ribut sekitar pukul 6.30 petang semalam dan mengakibatkan bot yang dinaiki mereka terbalik.
“Ketika kejadian, kelima-lima mangsa yang selamat sempat memakai jaket keselamatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, situasi itu mengakibatkan lima mangsa terbabit terapung kira-kira 18 jam sebelum ditemui oleh bot nelayan berhampiran.
Mangsa yang hilang merupakan tekong bot berkenaan iaitu Wong Pek Kaw, 25, yang kali terakhir dilihat hanya memakai seluar pendek tanpa baju.
Kesemua mangsa yang terselamat dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Belawai dan kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Belawai untuk pemeriksaan lanjut.