KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot pukat tunda yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi nelayan tanpa permit di kawasan laut Safma, Jumaat lalu.
Bot tersebut ditahan pada jam 8 malam oleh bot ronda PPM Kota Kinabalu.
Pemeriksaan mendapati bot membawa diesel dalam tangki yang diubah suai, dengan jumlah keseluruhan rampasan 6,000 liter diesel bernilai RM163,500.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, berkata peralatan untuk penjualan diesel turut dirampas.
“Dua tangki telah diubah suai dengan kapasiti 1,000 liter yang berisi kira-kira 2,000 liter diesel, manakala empat tangki yang turut diubah suai dengan kapasiti 600 liter berisi 2,400 liter diesel.
“Dua lagi tangki diubah suai ditemui dengan kapasiti 800 liter berisi 1,600 liter diesel,” katanya
Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik bot gagal menunjukkan permit yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.