Tumpuan :
Nasional

Bot nelayan tarik tepi, 3 nelayan asing ditahan

FOTO: APMM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Seorang juragan bersama dua awak-awak ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari dua batu nautika dari daratan, petang semalam.

Bot nelayan tempatan itu ditahan bot peronda yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Sungai Umas – Umas, di sini, kira-kira jam 2.15 petang.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemeriksaan terhadap bot berkenaan mendapati seorang juragan bersama dua orang awak-awak lelaki, semuanya pemegang passport warga Indonesia berusia di antara 30 hingga 45 tahun mengendalikan bot terbabit.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati bot melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat pada jarak yang tidak dibenarkan.

“Juragan, awak-awak, bot serta muatan hasil laut ditahan lalu diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

FOTO: APMM Sabah

Beliau berkata, semua barangan termasuk bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM76,000.

Shahrizan turut menjelaskan, pihaknya menerima keluhan dari nelayan pantai yang terjejas dengan kehadiran bot pukat tunda yang melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat berhampiran daratan.

“Aktiviti menarik pukat ini boleh merosakkan ekosistem laut, merosakkan peralatan menangkap ikan nelayan kecil dan aktiviti perikanan nelayan-nelayan tradisional di kawasan pantai.

“Orang ramai turut diminta membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini