comscore
Tumpuan :
Nasional

Bot nelayan meletup, 2 cedera, seorang parah

Dua nelayan cedera termasuk seorang parah selepas bot fiber meletup dan terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis. – FOTO: PDRM

KANGAR: Dua nelayan cedera dengan seorang daripadanya parah kerana melecur selepas bot mereka naiki terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis malam tadi.

Dalam kejadian 11.55 malam, mangsa Mohamad Bakri Idham, 54, dari Kampung Baru, Jalan Sarawak, Kuala Perlis, melecur hampir 90 peratus manakala rakannya Nur Azman Sabu, 45, pula mengalami lecur sekitar 45 peratus, pada keseluruhan badan mereka.

Semasa kejadian, penduduk kampung di kawasan itu sibuk menguruskan kediaman mereka yang dimasuki air akibat fenomena air pasang besar yang berlaku di beberapa kawasan di Kuala Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, ketika kejadian mangsa sedang melakukan persiapan untuk ke laut menangkap ikan.

“Bot fiber berkenaan diletakkan berhampiran pelantar Kampung Tanah Bari, Kuala Perlis sebagai persiapan untuk kedua-dua mangsa itu ‘turun’ ke laut selepas itu.

“Mengikut maklumat daripada salah seorang mangsa, ketika mereka hendak membuat persiapan itu, mangsa membuat pemeriksaan bot dengan memastikan minyak, bateri dan kelengkapan bot yang lain lengkap sewaktu bertolak ke laut.

“Namun, apabila mangsa membuka penutup ruangan tempat simpan bateri, secara tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran pada bot itu,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Katanya, api dari letupan berkenaan menyambar kedua-dua mangsa.

 

Dua nelayan cedera termasuk seorang parah selepas disambar api apabila bot fiber mereka naiki meletup dan terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis. – FOTO: NSTP / Ihsan Adun Kuala Perlis

“Menurut mangsa, punca kebakaran berlaku apabila mangsa membuka penutup ruangan penyimpanan bateri dan api berkenaan menyambar kedua-dua mangsa dalam bot itu, namun sempat diselamatkan oleh orang kampung yang turut berada di kawasan itu.

“Mangsa bagaimanapun selamat dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini