Kuantan: Seorang tekong dikhuatiri hilang manakala dua kru lagi selamat dalam insiden sebuah bot nelayan tempatan karam dalam kejadian di kedudukan 26.8 batu nautika perairan Kuala Pahang, tiga hari lalu.
Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada 3.10 petang semalam selepas Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan berkaitan insiden terbabit.
Beliau berkata, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan terus diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan operasi pencarian awal mangsa.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada seorang mangsa yang selamat, bot berkenaan dikatakan dipukul ombak sekitar 2 pagi mengakibatkan ia terbalik.
“Situasi itu mengakibatkan dua mangsa yang terselamat itu sempat berpaut pada tong minyak dan hanyut kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian sebelum ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan berhampiran sekitar 9 pagi.
“Menurut mangsa juga, bot karam sepenuhnya dan mereka tidak pasti sama ada tekong, Mat Riffin Awang Kechik berusia 66 tahun, warga Thailand turut terjun ke laut atau tidak kerana ketika insiden terbabit tekong berada di dalam anjungan bot tidak berbaju dan hanya berkain pelikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa tidak memakai jaket Keselamatan.
“Operasi Carilamat diteruskan dengan keluasan sektor pencarian hari kedua kira-kira 22.95 batu nautika persegi dengan membuat pemantauan di sekitar lokasi bot karam dan turut dibantu oleh bot nelayan tempatan.
“Sebarang aduan dan maklumat berkenaan kejadian terbabit boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.