BATU PAHAT: Insiden bot nelayan karam di Tanjung Segenting di sini semalam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(Maritim Malaysia) memaklumkan peluang empat nelayan yang hilang untuk ditemui selamat masih ada sekiranya mereka memakai peralatan kecemasan atau berpaut pada mana-mana objek terapung.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, setakat jam 5 petang tadi, pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) belum menemui sebarang petunjuk.
Katanya berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, ketika kejadian kelima-lima nelayan itu sempat keluar dari bot pukat tunda terbabit.
Bot nelayan karam: Kemungkinan peluang mereka masih hidup tetap ada – Maritim pic.twitter.com/EDT6pgbAya
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) June 22, 2024
“Kita masih berharap semua mangsa selamat, kita beranggapan sekiranya mereka memakai peralatan keselamatan dan mungkin mangsa berpaut pada apa-apa objek terapung, ada kemungkinan untuk mangsa selamat masih ada.”…atau diselamatkan oleh nelayan lain atau komuniti melalui perairan terbabit, berkemungkinan peluang mereka masih hidup tetap ada.
“Namun, sekiranya apa yang dikatakan tadi tidak berlaku, akan terjadi perkara di sebaliknya,” katanya pada sidang media Op CARILAMAT kru bot nelayan hilang di Zon Maritim Batu Pahat, di sini, hari ini.
Empat nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian 6 pagi semalam adalah tekong, Chia Kah Chong, 51, serta awak-awak Lee Poh Ling, 68, Tan Hai Lan, 62, dan Daud Darus@Hamid, 53.Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.
Kesemua mangsa dilaporkan keluar ke laut pada jam 8 malam Khamis lalu melalui jeti nelayan di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit.
Beliau berkata, operasi pada hari pertama melangkaui 27 batu nautika sebelum diperluaskan kepada 65 batu nautika membabitkan pencarian di permukaan laut.
“Untuk operasi di udara menggunakan helikopter, kita sudah melangkaui 73 batu nautika. Namun, sekiranya tidak dijumpai sehingga operasi ditangguh hari ini, kita akan perluaskan lagi kawasan percarian.
“Pada masa sama, kita akan tingkatkan pencarian di pesisir pantai memandangkan kawasan geografi di Batu Pahat terdiri lokasi berpaya dan berlumpur.
“Hari ini, sebanyak enam aset laut dan juga dua pesawat digunakan daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, pasukan gerakan udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam.” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.